Showing posts with label ARTIKEL TINTA. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL TINTA. Show all posts

Thursday, 7 August 2014

Epal Ranum itu.....

Pejam mata dan bayangkan kita dalam sebuah kebun epal yang luas. Tuan punya tanah datang dan menghulurkan dua kotak berwarna coklat bercorak polkadot putih. Kotak pertama dibuka, dalamnya ada sepuluh biji epal yang telah rosak, busuk dan berulat. kotak kedua pula dibuka, dalamnya ada sebiji epal yang masak ranum dan elok rupanya. Yang mana satu pilihan kita?

Jika masih punya akal yang waras, pasti pilihan kita adalah sebiji epal yang ranum dan elok rupanya. Itulah analogi kualiti vs kuantiti. Kualiti itu lebih penting dari kuantiti. Ini tidak boleh ditidakkan atau dinafikan lagi. Dalam perniagaan, produk berkualiti yang akan menjadi rebutan. Pengguna sanggup mengeluarkan wang yang banyak demi mendapatkan produk yang berkualiti. Memang benar, yang tidak berjenama tidak semestinya tiada kualiti, namun kebanyakan produk berjenama menawarkan kualiti yang bagus.

Kualiti bukan sahaja dalam dunia perniagaan, malahan dalam kehidupan seharian seperti masa, ibadat, makanan, juga banyak lagi.

Maka, ayuh kita menjadi sebiji epal yang ranum. Bukannya menjadi epal busuk yang berulat.


Thursday, 7 November 2013

secawan KOPI segelas SUSU

Setitik susu tidak mampu melunturkan warna secawan kopi. Namun setitik kopi mampu mengubah rasa dan warna segelas susu. Inilah lumrah dunia. Begitulah analoginya, kehidupan kita pada masa kini. Satu kebaikan yang dilakukan tidak mampu memadam titik-titik hitam yang dilakukan masa lampau. Namun, semua kebaikan yang kita dilakukan akan hilang sekelip mata dek hanya satu kesalahan yang tidak disengajakan atau disengajakan. Inilah tabii manusia. Apabila dendam dan amarah menyelubungi diri, pintu kemaafan tertutup rapat. Rasakan diri bagaikan sempurna hingga simpati lenyap dalam api kemarahan. Manusia melulu menjatuhkan hukuman tanpa melihat dan memandang akar umbi kesalahan tersebut. Rasakan diri bagaikan maksum. Kesalahan sebesar saga dijadikan sebesar gunung. Bara kemarahan dinyalakan menjadi api, bukannya disiram api kesabaran.

Sebagai manusia yang lemah dan serba kekurangan, kita tidak mungkin dapat lari daripada melakukan kesilapan. Maksum hanya hak milik para anbia. Namun, kita sering mendabik dada mengatakan “akulah yang terbaik”. Apabila ego menguasai diri, fikiran tidak lagi dikawal akal yang waras. Simpati hilang dek debu-debu kemarahan. Ditambah lagi percikan api pihak ketiga. Nilai persaudaraan menjadi murah. Nilai kemaafan menjulang tinggi. Beribu kemaafan dipohon namun tiada satu pun diendah. Mengapa tidak kita duduk berbincang? Mencari punca permasalahan. Mengapa tidak kita berusaha mencari titik penyelesaian? Mengapa senang kita menjatuhkan hukuman?

Biar roboh ikatan persaudaraan, asalkan ego berjaya dijulang. Itulah pemikiran songsang yang kita amalkan. Mampukah perpaduan dibentuk melalui pemikiran ini? Siapa kita untuk menjatuhkan hukuman? Kita hanya hamba yang lemah. Hanya Dia yang berkuasa. Dia yang memilki sifat Yang Maha Pengampun. Mengapa tidak kita memiliki sifat seorang pemaaf? Tidak malukah kita padaNya?


Sedarlah dari mimpi, bangkitlah dari lena. Tidak rugi jika kita memaafkan kesalahan orang lain. Malahan, kita pasti akan mendapat ganjaranNya di dunia dan akhirat kelak. Jangan sesekali kita menyemai benih-benih dendam. Dendamlah virus perosak masyarakat. Jadilah seorang pemaaf kerana bukan selamanya kita layak menjadi pemaaf. Mungkin satu hari nanti, kita pula yang akan menagih kemaafan. Pada masa itu, mungkin baru kita mengerti betapa mahalnya nilai kemaafan.