Setitik
susu tidak mampu melunturkan warna secawan kopi. Namun setitik kopi mampu
mengubah rasa dan warna segelas susu. Inilah lumrah dunia. Begitulah
analoginya, kehidupan kita pada masa kini. Satu kebaikan yang dilakukan tidak
mampu memadam titik-titik hitam yang dilakukan masa lampau. Namun, semua
kebaikan yang kita dilakukan akan hilang sekelip mata dek hanya satu kesalahan
yang tidak disengajakan atau disengajakan. Inilah tabii manusia. Apabila dendam
dan amarah menyelubungi diri, pintu kemaafan tertutup rapat. Rasakan diri
bagaikan sempurna hingga simpati lenyap dalam api kemarahan. Manusia melulu
menjatuhkan hukuman tanpa melihat dan memandang akar umbi kesalahan tersebut.
Rasakan diri bagaikan maksum. Kesalahan sebesar saga dijadikan sebesar gunung.
Bara kemarahan dinyalakan menjadi api, bukannya disiram api kesabaran.
Sebagai
manusia yang lemah dan serba kekurangan, kita tidak mungkin dapat lari daripada
melakukan kesilapan. Maksum hanya hak milik para anbia. Namun, kita sering
mendabik dada mengatakan “akulah yang terbaik”. Apabila ego menguasai diri,
fikiran tidak lagi dikawal akal yang waras. Simpati hilang dek debu-debu
kemarahan. Ditambah lagi percikan api pihak ketiga. Nilai persaudaraan menjadi
murah. Nilai kemaafan menjulang tinggi. Beribu kemaafan dipohon namun tiada
satu pun diendah. Mengapa tidak kita duduk berbincang? Mencari punca
permasalahan. Mengapa tidak kita berusaha mencari titik penyelesaian? Mengapa
senang kita menjatuhkan hukuman?
Biar
roboh ikatan persaudaraan, asalkan ego berjaya dijulang. Itulah pemikiran
songsang yang kita amalkan. Mampukah perpaduan dibentuk melalui pemikiran ini?
Siapa kita untuk menjatuhkan hukuman? Kita hanya hamba yang lemah. Hanya Dia
yang berkuasa. Dia yang memilki sifat Yang Maha Pengampun. Mengapa tidak kita
memiliki sifat seorang pemaaf? Tidak malukah kita padaNya?
Sedarlah
dari mimpi, bangkitlah dari lena. Tidak rugi jika kita memaafkan kesalahan
orang lain. Malahan, kita pasti akan mendapat ganjaranNya di dunia dan akhirat
kelak. Jangan sesekali kita menyemai benih-benih dendam. Dendamlah virus
perosak masyarakat. Jadilah seorang pemaaf kerana bukan selamanya kita layak
menjadi pemaaf. Mungkin satu hari nanti, kita pula yang akan menagih kemaafan. Pada
masa itu, mungkin baru kita mengerti betapa mahalnya nilai kemaafan.
No comments:
Post a Comment